Celoteh2 Mesra!


ShoutMix chat widget

Tuesday, 23 November 2010

Makna Taqwa dan Ciri-cirinya

Golongan orang bertaqwa semakin hari semakin berkurangan. Bahkan istilah taqwa sudah pun luput daripada pemikiran insan. Di dalam khutbah Jumaat seringkali disebut tentang taqwa kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Surah Al-Imran : 102)

ِAyat ini sering diulang-ulang setiap minggu di dalam khutbah Jumaat. Tetapi hari ini, kita terpinga-pinga mentafsirkan ciri-ciri taqwa itu. Oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk menjelaskan tentang ciri-ciri orang bertaqwa berdasarkan ayat 1-4 surah Al-Baqarah.

Daripada ayat ini, jelas menunjukkan ciri-ciri orang bertaqwa iaitu :

a. Menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk.
b. Beriman dengan perkara-perkara ghaib.
c. Mendirikan solat.
d. Menginfakkan harta mereka.
e. Beriman dengan al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya.
f. Meyakini tentang hari akhirat.



MENJADIKAN AL-QURAN SEBAGAI PETUNJUK

Al-Quran adalah petunjuk bagi semua manusia tetapi hanya segelintir sahaja yang menjadikannya sebagai petunjuk. Yang selebihnya lebih suka memekakkan telinga daripada menerima kebenaran al-Quran atau mereka yang menentang al-Quran itu sendiri.

Mereka tidak menjadikan al-Quran sebagai petunjuk ini disebabkan 2 perkara, sama ada degil atau jahil. Contohnya seserang yang ingin ke sebuah tempat. Laluan untuk ke tempat tersebut telah disediakan papan tanda sebagai petunjuk. Namun terdapat dua golongan, yang tidak menggunapakai papan tanda tesebut. Mereka adalah orang yang degil dan orang yang jahil.

Orang yang degil akan berkata " Buat apa aku nak ikut papan tanda ini, entah betul entah tidak..." Manakala si jahil pula berkata, " Aku tak fahamlah tulisan di papan tanda ini.."

Si degil yang sombong ini akan sesat dengan kedegilannya. Sengaja menolak al-Quran kerana menganggap dirinya tidak sesat di dalam perjalanan di dunia ini manakala si jahil pula akan terus tidak memahami petunjuk untuknya. Orang seperti ini tidak mengetahui intipati di dalam al-Quran, dan gagal menjadikan al-Quran sebagai petunjuk.



BERIMAN DENGAN PERKARA-PERKARA GHAIB

Perkara ghaib adalah sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera. Beberapa golongan falsafah yang sesat, menolak kewujudan alam ghaib ini. Antaranya ialah Materialisme, Komunisme, Atheisme dan lain-lain. Sesiapa yang tidak yakin dan tidak berpegang dengan kewujudan alam ghaib, maka dia tergolong dalam golongan kafir.

Perkara ghaib ini bukan sekadar 'diketahui' semata-mata, bahkan ia perlu dipegang dan diyakini. Hari ini, manusia mengetahui bahawa Allah itu wujud. Manusia juga tahu neraka itu ada, tetapi masih mengamalkan rasuah. Inilah bentuk pengetahuan tentang ghaib semata-mata tanpa diimani dengan sbenar-benarnya.

Antara perkara ghaib yang perlu diimani dan diyakini ialah ketentuan dan ketetapan Allah SWT. Ramai orang mengetahui bahawa ketentuan dan ketetapan Allah itu pasti, tetapi apabila mereka diuji atau ditimpa bencana, mereka masih merungut dan mempertikaikannya.

"4 perkara yang telah ditetapkan oleh ALlah ialah rezeki, ajal, perbuatan manusia dan kesudahannya."

Berusahalah sehebat manapun, sekiranya Allah tidak memberikan rezeki itu, maka kita tetap tidak dapat. Carilah jodoh sehabis daya, akhirnya kita akan kahwin dengan jodoh yang telah Allah tetapkan. Maka bersabarlah. Orang yang bertaqwa akan meyakini perkara ini.


MENDIRIKAN SOLAT

Selalu sahaja orang bersolat, tetapi mereka tidak mendirikan solat. mereka bersolat sekadar melepaskan batuk di tangga. Teringat di dalam kitab at-ibyan Fi Adabi Hamlati Quran, Imam Nawawi menyebut tantang perbezaan dia antara solat dan mendirikan solat.

Allah SWT berfirman mafhumnya:

"Celakalah bagi mereka yang bersolat. Iaitu mereka yang lalai dalam solatnya." (Surah al-Ma'un : 4-5).

Maka, jelas sekali bahawa bersolat itu adalah solat yang didirikan dalam keadaan lalai. Maka celakalah bagi mereka. Mereka tidak mendirikan solat tetapi hanya bersolat semata-mata. Juga perbezaan kita dengan 'bukan Islam' adalah cara bersolat. Cara kita bersolat sememangnya berbeza tapi ia adalah sama. Tetapi dalam Islam, kita dituntut supaya mendirikan solat kerana solat yang kita laksanakan itu tidak sama dengan orang bukan Islam bersolat.

Solat itu tiang agama. Adakah kita membuat tiang semata-mata tanpa mendirikannya? Apa guan tiang yang tidak digunakan untuk memasak rumah? Buat tiang untuk suka-suka? Jadikanlah solat itu tiang agama. Inilah sifat orang bertaqwa.


MENGINFAKKAN HARTA

Apabila difikirkan, ia adalah satu amalan yang sangat menguntungkan. Walaupun sudah mati, 'royalti' masih berjalan. Kita masih dapat royalti walau sudah mati. Atau, dengan bahasa mudah, dapat pahala free, dan berterusan, ketika diri ini sudah tidak dapat mengumpulkan pahala. Sedekah jariah bukan susah. Ada duit atau apa-apa yang boleh disumbangkan, silakan.

Pahala tersebut akan berjalan selagimana duit atau sumbangan itu digunakan untuk kebaikan. Ilmu yang bermanfaat, sebarkan. Ia akan menjadi pahala yang berterusan. Lihatlah ulama-ulama kita. Walaupun jasad sudah dalam tanah, tetapi pahala mereka masih lagi berjalan mengalir ke perkuburan mereka.

Anak yang soleh, juga adalah royalti yang berterusan. Sekiranya anak yang soleh ada macam tiada, kita lihat pula ilmu yang ada. Kalau ilmu pun tak berapa ada, sumbanglah untuk Islam. Maka, orang yang bertaqwa akan berlumba-lumba untuk menginfakkan harta mereka. Mereka berkorban untuk Islam, dan Allah akan menggantikannya dengan ganjarannya yang lebih besar.


BERIMAN DENGAN AL-QURAN DAN KITAB-KITAB SEBELUMNYA

Hari ini orang mempersoalkan, bolehkah kita membaca kitab Injil? Sedangkan al-Quran yang di hadapan mata itu jarang dibaca, apatah lagi dipraktikkan. Namun hari ini tiada lagi Injil. Yang ada hanyalah Bible yang sudah diputarbelitkan.

Kitab yang telah diturunkan oleh Allah ialah al-Quran, Taurat, Zabur dan Injil. Keempat-empat kitab ini wajib dipercayai kerana ia diturunkan oleh Allah SWT. Tetapi malangnya, kita lebih mengambil pendekatan mempercayai kitab-kitab lain, selain daripada empat kitab yang disebutkan ini. Kita lebih mengguna pakai kitab buatan manusia iaitu undang-undang yang digariskan oleh manusia sendiri.

Al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya, menjadi sumber rujukan pada zamannya. Tetapi setiap kaum di zaman tersebut lebih suka meggunakan manusia sebagai rujukan, bahkan sengaja melanggar kandungan kitab-kitab tersebut. maka tidak hairanlah manusia jenis ini pun masih wujud warisannya hingga kini.


YAKIN DENGAN HARI AKHIRAT

Apabila menyebut tentang keyakinan terhadap hari akhirat, kita cukup kesal dengan beberapa golongan yang hanya mengetahui tentang peristiwa ini, tetapi tidak mengimaninya. bahkan mereka tidak yakin dengan kewujudan peristiwa tersebut.

Contohnya mereka yang gila dalam mengumpulkan harta dunia. Mereka ini tahu bahawa harta itu akan pupus jua, apabila mereka telah mati. Namun, mereka tidak yakin bahawa harta itu akan pupus. Mereka mengatakan bahwa kalau aku mati sekalipun, anak-anak aku masih ada untuk menikmati harta ini, Orang ini tidak yakin bahawa Allah itu berkuasa menarik hartanya itu dalam sekelip mata.

Apabila seseorang yakin dengan akhirat, mereka akan menyibukkan diri dengan akhirat, dengan tidak melupakan dunia. Ini kerana mereka yakin bahawa dunia itu sementara, dan akhirat itulah yang kekal. Malang bagi mereka yang mengganggap dunia itu kekal, dan akhirat itu diketepikan buat sementara waktu. Apabila hampir mati, barulah terhegeh-hegeh memnuat malan, sedangkan ketika mudanya disia-siakan.

KESIMPULAN

Demikianlah 6 sifat orang-orang yang bertaqwa. Kebanyakan manusia tidak menyedari mereka diwajipkan bertaqwa. Mereka menyangka bertaqwa itu sunat, harus dan sebagainya. Sedangkan perintah ini telah disebut dalama firman Allah mafhumnya : "Wahai orang-orang yang beriman. Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah!"

Waallahua'lam.

Sumber : Akidah, Kefahaman & Pemikiran. karangan Muhammad Mujahid, Fellow MANHAL PMRAM



0 comments:

Post a Comment

Tinggal2kan pesan2 yang anda mahu di sini okay :)